Thursday, November 19, 2009

Silat Cekak memang praktikal.


Ustaz Hanafi mewarisi SC melalui susur galur aturan ilmu yang sah. Dari sudut pendidikan kerohanian pula Ustaz Hanafi telah mendamba jiwa keilmuannya, dengan mendampingi Hj. Zain. Ilmu yang diwarisi, dicungkil dan digali dari lubuk ilmu yang disimpan penuh seni, karya hebat Ibni Atta'illah bernama Al-Hikam. Bukan semua mampu untuk mentafsirkan apa yang dibawa. Maka dengan penuh bijaksana, Ustaz Hanafi menterjemahkan hampir sebilangan besar isikandung kitab Al-Hikam, melalui perbuatan dan kefahaman beliau. Setiap sesuatu diperkukuhkan dengan contoh yang dilakukan sendiri demi pembuktian kebenaran kata-kata. Bagi ahli-ahli yang faham, mereka lantas bersegera mengikuti apa yang dilakukan atas kemampuan masing-masing. Bukan sedikit yang berjaya atas kefahaman tersebut.



Pembawakan sedemikian berlarutan dan disampaikan dengan penuh hemah dan hikmah. Tiada murid yang keliru dan tersasar. Inilah kelebihan Guru yang hebat. Arif dengan kelemahan murid maka dimudahkan pencarian itu buat kesenangan semua. Jika dikaji dengan lebih terperinci, setiap falsafah, pantun, pendirian hatta pergerakan seni silat itu sendiri boleh dikatakan adalah hasil rumusan beliau terhadap apa yang dipelajari. Hebatnya ialah semua perkara tersebut, mampu diolah oleh sesiapapun untuk dijadikan satu amalan yang baik. Lihatlah dari sudut mana, pasti yang nampak hanya kebaikan. Kajilah dari sudut mana, yang bakal ditemui adalah kebenaran. Ada yang pernah berkata, isikandung SC ini, mampu untuk dibicarakan secara ilmiah ditahap tertinggi keilmuan. Terlalu awal bagi saya untuk mengeluarkan rumusan tersebut. Tetapi memang tidak mustahil. Dewasa ini kita kekurangan pakar yang mahir untuk mengolah maksud. Jangan pula terkejut dengan kenyataan tersebut. Sebenarnya memang ada dikalangan kita yang mampu berbuat demikian. Cuma tidak diberi peluang dan pendedahan.

Proses belajar dalam SC berlaku dalam dua keadaan. Pertama secara terus dan formal iaitu di dalam kelas. Kedua, proses pembelajaran berlaku secara tidak langsung melalui hubungan persahabatan dan kenalan. Maaf, jika apa yang dikata tidak dapat dibuktikan secara kajian khusus. Saya berpendapat, penyampaian ilmu melalui kaedah yang kedua membentuk peratusan yang lebih tinggi dan paling mudah diterima. Apa yang berlaku terus diterima. Apa yang disampaikan adalah mengikut kesesuaian masa dan tempat. Bagi para ahli, apa yang berlaku ketika itu, mungkin satu teguran atau gurauan. Tetapi bagi yang menyampaikan, teguran dan gurauan tersebut adalah hasil satu kefahaman yang cuba diterapkan. Kefahaman inilah yang menyebabkan penyampai bertindak. Hasrat utama ialah membentuk perubahan. Cara sebegini memang mudah. Cara pengajian yang tidak mengadap kitab tetapi mempunyai pertautan yang amat kuat dengan kefahaman yang dituntut oleh kitab tersebut. Tanpa disedari bukan sahaja mereka yang baik menerima apa yang diterapkan, mereka yang selama ini hilang punca juga jelas dengan setiap maksud.

Ilmu yang praktikal tidak terlalu bersandar pada teori. Bukan salah untuk mendalami teori tersebut. Cuma biarlah nampak berlakukan di depan mata. Pendidikan melalui teladan. Lapangkan hati dan terimalah ilmu secara terbuka. Jangan cepat memandang serong. Lihat secara jujur dan berfikirlah secara positif. Insyaallah segala yang dinyatakan memang mudah. Percayalah bahawa mudahnya kefahaman ini pasti membuahkan satu perubahan. Begitu jugalah dengan mereka yang selama ini mengorbankan masa dan buah fikir memaklumkan kepada kita demi kebaikan bersama. Saya yakin mereka telah menikmati kebenaran tersebut.

No comments: