Monday, December 28, 2009

Genap 1 Tahun Blog Cekak Hanafi Uniten


Alhamdulillah. Diam tak diam sudah setahun blog persatuan kita bertahan. Dan selama setahun kita banyak lihat banyak kemajuan yang dapat kita lihat dalam blog persatuan. Sungguhpun ia hanyalah blog, tetapi saya percaya semua ahli amat mengakui bahawa blog inilah yang banyak berjasa dalam menyampai pelbagai maklumat dan informasi kepada semua ahli.

Dan selama setahun jugalah saya Mohd Azwan Othman yang memegang jawatan Yang Dipertua pada sesi ini menjadi Moderator kepada blog persatuan kita ini. Saya masih ingat lagi sebelum kita mewujudkan blog ini sebagai wadah maklumat, kita mempunyai intranet yang mana addressnya adalah http://putchi/lading. Seronok juga bila kita kenang semula bagaimana kita berinteraksi melalui forum yang diwujudkan dalam intranet itu. Namun intranet hanya dapat dilayari dalam kawasan kampus sahaja. Maka maklumat yang ingin kita sampaikan tidak sampai di mata dunia.

Kini, dunia melihat kita, ahli-ahli Silat Cekak Hanafi seluruh Malaysia dapat melihat kita. Dan saya amat terharu atas sambutan dan sokongan yang diberikan kepada blog kita ini. Selepas intranet kita tidak aktif. Saya mencari jalan bagaimanakah kita dapat menggunakan internet untuk meluaskan hubungan. Sungguhpun pada awalnya amat mustahil pada saya untuk penubuhan blog ini. namun saya wujudkan juga. Harus diakui juga bahawa semua ahli beranggapan Blog ini tidak akan kekal lama sama seperti intranet dan website kita sebelum ini. Namun saya percaya dengan pepatah "hendak seribu daya tak mahu seribu dalih". Dan alhamdulillah blog ini mencapai umurnya setahun.

Yang lebih membanggakan saya selaku peneraju blog ini ialah apabila rakan-rakan kita dari IPT-IPT lain mula mengikut jejak langkah kita untuk menubuhkan blog rasmi Persatuan mereka sendiri. Saya amat memuji tindakan mereka dalam ingin melangkah setapak kehadapan dalam mengembangkan Silat kita. Tidaklah keterlaluan jika saya katakan PSSCUH Uniten telah menjadi contoh yang baik kepada rakan-rakan IPT lain dalam hal ini, jika tidak, masakan rakan-rakan Cekak Hanafi dari IPT lain turut mengikut jejak kita dalam penubuhan blog rasmi Persatuan?

Sepanjang setahun ini juga pelbagai rintangan dan cubaan telah kita lihat. Blog kita juga pernah "diserang" namun kita teruskan juga penggunaan Blog sebagai medium antara ahli, Exco dengan pihak Pusat. Saya amat berharap pada satu hari nanti PSSCUH Uniten akan menubuhkan Laman Web nya sendiri agar Persatuan ini akan nampak lebih gah lagi. Sepanjang setahun saya menguruskan blog Persatuan ini saya memohon maaf sekiranya ada tulisan yang mengguris hati dan menyentuh sensitiviti sesetengah golongan. Apa yang saya harapkan, tatkala saya meninggalkan kerusi Yang Dipertua pada akhir tahun depan, anak-anak buah saya akan terus bersemangat untuk menjayakan blog ini dan seterusnya melangkah dengan lebih jauh. Jika saya tidak dapat mencapai matlamat Persatuan pada sesi saya memimpin, pemimpin akan datanglah yang akan mencapainya, dan jika pemimpin akan datang tidak mencapainya, pemimpin yang berikutnyalah yang akan mencapainya. Dan berusahalah bersungguh-sungguh dan bergantung hati kepada Allah Taala. Itulah amanat dan pegangan kita sebagai Pesilat Cekak yang diajar oleh Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad.

Hidup Cekak Hanafi!!


Yang Benar

MOHD AZWAN OTHMAN

YANG DIPERTUA
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI
UNIVERSITI TENAGA NASIONAL

Saturday, December 26, 2009

Tuesday, December 22, 2009

Demo Mini Bazar 2009

Mini Bazar 2009

Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan mini bazar Kelab dan Persatuan 2009 anjuran Majlis Pewakilan Pelajar. Program ini adalah untuk memberi ruang kepada semua kelab dan persatuan untuk mempromosikan Kelab dan Persatuan Masing-masing. Sekali lagi Squad demo memenangi Anugerah Persembahan Terbaik dan ini merupakan kemengan dua kali berturut-turut. Tahniah kepada squad demo atas usaha gigih mereka.












Kenangan Terindah White Water Rafting

Alhamdulillah. Selesai sudah White Water Rafting Silat Cekak Hanafi. Kami ahli-ahli Cekak Hanafi Uniten berasa berbesar hati kerana turut serta dalam program ini. Hubungan yang erat terjalin melalui program ini telah melahirkan satu perkara yang sangat positif. Mesej dan tujuannya iaitu mengeratkan silaturrahim amat tercapai dan patut dipuji. Sekalung tahniah kepada jawatankuasa program kerana berjaya menghidupkan program yang cukup bermakna. Pada kami warga Cekak Uniten, ini adalah kenangan terindah antara kami dengan pihak pusat. Semoga hubungan ini akan terus berkekalan. Kami juga berharap agar IPT lain akan turut memeriahkan program-program yang akan datang. Hidup Cekak Hanafi!!