Friday, November 14, 2008

NUR HANAFI……Ustaz Hanafi Dalam Kenangan (Episod 1)


Semenjak 42 tahun yang lalu, nama Ustaz Hanafi telah bermain di bibir penuntut Silat Cekak atas jasa dan pengorbanan beliau melahir dan mengembangkan Silat Cekak ke alam maya. Penglibatan Ustaz Hanafi selama 21 tahun semasa hayat beliau telah meletakkan beliau setaraf dengan pejuang-pejuang nationalis bangsa sewaktu proses menuntut kemerdekaan dan juga sewaktu melawan penjajah. Berbeza dengan perjuangan menentang penjajah, Ustaz Hanafi berjuang untuk menegakkan tamadun bangsa Melayu melalui silat. Identiti silat yang dibawa oleh beliau adalah berindentitikan pendidikan dengan dimasukkan roh Islam sebagai asas kepada pergerakan Silat Cekak yang kemudiaannya digabungkan dengan adat dan istiadat bangsa Melayu dan selepas itu lahirlah apa yang di sebut Silat Cekak sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Nama Ustaz Hanafi juga cukup popular sewaktu di zaman puncak beliau disebabkan ketokohan dan pengetahuan ugama yang mendalam, kepetahan berhujah dan berucap, keupayaan berbicara soal ugama, ahli bahasa yang berpengalaman dan keperibadian yang bersih serta berpendirian tegas telah menonjolkan beliau antara tokoh persilatan Melayu yang disegani oleh kawan dan lawan. Oleh itu ramai berpendapat, Ustaz Hanafi menonjolkan atas kekuatan yang ada pada diri beliau. Beliau diangkat dan diletakkan ke satu tahap yang tinggi atas kegigihan dan keyakinan beliau. Kejayaan yang beliau kecapi adalah selepas beliau berjaya mengharungi rintangan dan cabaran yang hebat. Maka kemanisan hasil dari kejayaan yang dicapai itu adalah kemanisan yang berkekalan hingga ke hari ini. Sebab itu, walaupun Ustaz Hanafi telah tiada, namun roh pendidikan dan ilmu yang ditinggalkan oleh beliau masih bersama kita semua dan di atas hasil didikan beliau jugalah, kita semua dapat memperbaiki diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Ustaz Hanafi merupakan pemimpin agung kepada Silat Cekak. Tiada lagi pemimpin yang sehebat dan setaraf beliau yang dapat dilahirkan oleh pergerakan Silat Cekak. Ustaz Hanafi adalah unik. Hanya satu pemimpin seperti beliau yang dilahirkan bersama Silat Cekak. Tiada sesiapapun yang boleh meniru atau boleh mendabik dada mengatakan sebaliknya. Maka, apabila kita semua bercerita tentang Silat Cekak , nama Ustaz Hanafi akan turut serta. Ustaz Hanafi dan Silat Cekak tidak boleh dipisahkan. Ianya bergerak seiring dan akan kekal begitu untuk tempoh yang amat lama.

Ustaz Hanafi telah banyak berjasa kepada kita semua. Beliau meninggalkan satu warisan yang amat berharga untuk kita sama-sama pelihara. Inilah wasiat dan amanah yang diserahkan kepada kita untuk kita kembangkan dan jaga supaya dapat diwarisi oleh para anak bangsa. Amanah yang beliau tinggalkan adalah untuk generasi sekarang dan akan datang. KITA SEMUA ADALAH PEMEGANG AMANAH TERSEBUT. Kita bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara kesucian warisan yang telah ditinggalkan oleh pemimpin agung Silat Cekak yang kita kasihi. Ilmu yang ditinggalkan kepada kita adalah ilmu untuk mendidik. Mendidik anak bangsa dari yang tidak bagus menjadi bagus, yang tidak elok menjadi elok, yang tidak amanah menjadi amanah, yang tidak siddiq menjadi orang-orang yang bercakap benar dan yang paling penting ilmu yang ditinggalkan adalah untuk mendidik kita supaya dapat menilai dan mengenal diri kita di sisi Allah swt. Apabila kita kenal diri, maka sudah tentu hubungan kita dengan Allah swt menjadi hubungan yang hebat. Hubungan tuan dengan hambaNya.

Setelah berlalu episod duka, kami akan cuba menyiarkan nostalgia tentang Ustaz Hanafi yang bermula dengan siapakah dia Ustaz Hanafi, apakah latarbelakang beliau, apakah pengalaman dan payah jerih beliau untuk mengembangkan silat ini. Mungkin pengalaman dan kegigihan beliau akan menjadi panduan untuk kita menghadapi cabaran seterusnya. Disamping itu, kami akan cuba menyiarkan apakah pendidikan yang telah diterapkan oleh Ustaz Hanafi untuk kebaikan kita bersama. Dan tidak lupa kami akan menyiarkan juga hasil didikan Ustaz Hanafi yang merupakan anak-anak murid beliau yang beliau kasihi. Ada ramai anak murid beliau yang boleh kita kongsi pengalaman mereka. kami akan siarkan seramai yang boleh untuk tatapan kita semua. Kita cuba berkongsi pengalaman dan ambil iktibar serta pengajaran dari cerita-cerita yang dilalui oleh mereka-mereka ini, InsyaAllah.

No comments: