Monday, March 30, 2009

Petikan Artikel berguna dari Cekakhanafi.com


Perkataan "Warisan Mutlak" adalah satu perkataan yang sinonim dengan Silat Cekak. Namun berapa ramaikah ahli-ahli Silat Cekak yang memahami perkataan ini. Apa itu "warisan"? Apa itu mutlak? Apa itu warisan mutlak? Apa itu warisan mutlak dalam konteks Silat Cekak? Di samping itu pula, dari mana asal usul timbulnya perkataan ini dalam Silat Cekak? Siapa yang mula-mula menggunakan dan mempromosikan perkataan ini? Bila pula perkataan ini diuar-uarkan di kalangan ahli-ahli dan orang awam?


Sejarah telah merakamkan bahawa orang yang bertanggungjawab menzahirkan perkataan ini adalah Allahyarham Ustaz Hanafi Hj Ahmad sendiri. Dalam satu penulisan, beliau telah menggunakan ungkapan seperti berikut ; "silat cekak adalah satu warisan mutlak bangsa melayu".

Apakah yang sebenar-benarnya dimaksudkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi dalam ungkapan itu? Yang paling jelas lagi nyata adalah ia menjurus kepada bangsa melayu. Silat Cekak adalah satu warisan mutlak bangsa melayu. Silat Cekak berasal dari semenanjung tanah melayu. Bukan di tanah Jawa, Minangkabau atau mana-mana kawasan di nusantara selain semenanjung tanah melayu.

Kehebatan Silat Cekak sebagai satu silat melayu yang benar-benar asli tidak perlu dipertikaikan. Ia berkembang hebat dan meluas di seluruh pelusuk negara.

Kejayaan Allahyarham Ustaz Hanafi Hj Ahmad menghidupkan kembali satu jenis silat milik bangsa melayu yang hampir pupus adalah satu kejayaan yang sangat besar. Sumbangan ini adalah satu sumbangan yang sangat besar lagi bernilai kepada bangsa melayu.

Sewajarnyalah Allahyarham Ustaz Hanafi Hj Ahmad diberikan anugerah yang setinggi-tingginya kerana jasanya memartabatkan satu warisan mutlak bangsa melayu di negara kita, Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "warisan" dan "mutlak"? Mengikut kamus, perkataan warisan bermaksud peninggalan dan "mutlak" pula bermaksud hak eksklusif.

Apa yang penting difahami adalah perkataan "warisan mutlak" ini bermaksud "warisan mutlak bangsa melayu" bukan "warisan mutlak milik mana-mana individu dalam Silat Cekak khususnya guru utama". Maka semua ahli Silat Cekaklah yang mewarisi Silat Cekak ini.

"Warisan Mutlak" ini telah mula diuar-uarkan semasa lagu rasmi Silat Cekak dilancarkan pada tahun 1990 hasil ciptaan Johari Salleh. Beliaulah yang telah memberikan tajuk lagu tersebut dan beliaulah yang telah menuliskan lirik lagu tersebut berdasarkan bahan-bahan yang diberikan kepada beliau.

Melihat kepada lirik lagu ini;

Dengan jiwa yang mulia kita bersatu
Pusaka Melayu dipelihara
Silat Cekak warisan mutlak
Seni kebudayaan kita

Berusaha sentiasa kita bersedia
Diri sendiri perlu dijaga
Silat Cekak warisan mutlak
Mari bersama kita jayakannya

Korus:
Dengan guru yang ada hakikat
Serta amalan syariat
Tambah dengan ilmu makrifat
Munafaatnya sungguh hebat

Penuh azam mencapai matlamat kita
Mempertahankan kedaulatannya
Silat Cekak warisan mutlak
Demi agama, bangsa dan negara

Lagu dan Lirik oleh Johari Salleh (1990)

adalah jelas dan nyata bahawa silat cekak adalah satu warisan mutlak milik bangsa melayu.

Namun korus lagu ini boleh mengundang kontroversi sekiranya ia ditafsirkan berlainan daripada maksud asal. Korus ini harus dibaca bersama dengan pantun cekak yang dinukilkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi Hj Ahmad

Sebenar guru ada hakikat
Dikuat pula amalan syari'at
Ditambah pula ilmu ma'arifat
Berpakaian pula dengan isyarat

Adalah menjadi satu fahaman yang songsang sekiranya ia dimaksudkan sebagai setiap guru utama silat cekak memiliki ilmu-ilmu ini secara automatik tanpa mempelajarinya terlebih dahulu.

Selain daripada tafsiran "warisan mulak" seperti yang diulaskan sebelum ini, "warisan mutlak" juga boleh ditafsirkan sebagai satu warisan yang suci lagi menyucikan seperti tafsiran "air mutlak". Ia membawa maksud bahawa Silat Cekak adalah adalah satu warisan yang bersih dan suci daripada unsur-unsur tahyul dan khurafat kerana ia bertunjangkan tauhid. Ia bebas daripada segala ajaran yang sesat lagi menyesatkan dalam konteks ugama Islam yang suci. Dengan kata lain mereka yang telah mempelajari Silat Cekak telah membebaskan diri masing-masing daripada mana-mana seni beladiri yang mempunyai ciri-ciri tahyul dan khurafat.

Apalah ada pada nama "warisan mutlak" ini sekiranya si pengamal apatah lagi sipemimpinnya mengamalkan ilmu tahyul dan khurafat dalam Silat Cekak.

Itulah yang telah terjadi sebagai satu detik hitam pada tahun 1993 yang melibatkan Ishak Itam selaku guru utama Silat Cekak yang menggantikan Allahyarham Ustaz Hanafi Hj Ahmad.

Dengan sendirinya peristiwa itu bercanggah dengan korus lagu "Warisan Mutlak".

Di bawah pergerakan Silat Cekak Hanafi, perkataan "warisan mutlak" telah dinaiktaraf. Lagu rasminya "Peneraju Warisan Mutlak" telah dilahirkan oleh pencipta Johari Salleh pada tahun 1996. Liriknya adalah seperti berikut:-

Penuh kesetiaan dan perpaduan
Kita junjung hasrat semua
Kepada guru, ibu dan bapa
Jasamu tetap dikenang

Kita menjaga keselamatan diri
Penuh semangat yang suci
Dengan asuhan jasmani dan rohani
Itulah amalan kami

Kita bersatu bicara benar
Tindak dengan bijaksana
Silat Cekak Ustaz Hanafi
Peneraju Warisan Mutlak

Kita berani dan beramanah
Mendukung wawasan mulia
Seni budaya pusaka kita
Untuk bangsa agama dan negara

Lirik/Lagu : Johari Salleh (1996)

Adalah jelas lirik ini adalah jauh lebih baik dan jitu berbanding dengan lagu "Warisan Mutlak" sejajar dengan taraf peneraju kerana isi perjuangan dalam Silat Cekak yang diasaskan Allahyarham Ustaz Hanafi Hj Ahmad telah diterangkan secara lebih jelas.

Maka mana-mana ahli Silat Cekak Hanafi yang mempelajari, memahami dan menghayati perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi Hj. Ahmad dalam Silat Cekak Hanafi maka merekalah sebenar-benarnya pewaris warisan mutlak.

No comments: