Friday, December 5, 2008

NUR HANAFI……Ustaz Hanafi Dalam Kenangan – Episod 4


Latar belakang pendidikan (Formal & Tidak Formal)

Ustaz Hanafi melalui pelbagai proses pendidikan baik secara formal mahupun tidak formal. Beliau mempunyai ramai guru-guru yang mendidik beliau dalam berbagai bidang baik perubatan, persilatan mahupun agama. Berbagai cara pendidikan yang dilalui antaranya:

i- Belajar di sekolah pondok

Ustaz Hanafi mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunong, Alor Setar, Kedah dalam tahun 1929 ketika berusia enam tahun. Beliau berhenti sekolah ketika berada di dalam darjah empat . Setelah berhenti dari sekolah Melayu, Ustaz Hanafi telah mengaji di pondok Kampong Alor Goncah, Mukim Gunong, Alor Setar, Kedah yang terletak kira-kira dua batu dari rumah beliau. Pondok ini di bawah pengawasan Hj Osman Lebai Zain. Pada tahun 1935, setelah belajar selama dua tahun di pondok tersebut, Ustaz Hanafi telah dipecat dari terus mempelajari di pondok tersebut kerana di katakan berkelakuan tidak senonoh kononnya beliau telah menikam curi ponggong seorang kawan pada suatu malam dengan sebilah pisau lipat dari bawah pondok. Tindakan tanpa siasatan oleh pihak pentadbir sekolah tersebut menyebabkan ibu bapa Ustaz Hanafi berasa malu.

Setelah berhenti pada tahun 1936, setahun selepas itu, beliau dihantar oleh bapanya mengaji di pondok Guar Chempedak , Kedah kira-kira 23 batu dari rumahnya. Pondok tersebut dikendalikan oleh Hj Abdul Majid dan Yahaya Jonid dan beberapa guru yang lain mengajar agama dan sekolah Arab. Oleh kerana kedudukan yang jauh dari rumah, Ustaz Hanafi tinggal bersama 400 rakan-rakan sekolah di pondok tersebut dan hanya pulang ke rumah sebulan sekali. Namun kerana kurang kesuaian, selepas hanya setahun berlajar di sekolah tersebut, Ustaz Hanafi telah berhenti dari sekolah tersebut. Beliau akhirnya pulang ke kampung dan belajar dengan beberapa orang guru antaranya:

-Hj Bukhari bin Hj Hasan dari Kampong Pinang, Mukim Pengkalan Kuno, Alor Setar
-Hj Hanafiah , bapa saudara beliau dari Anak Bukit, Alor Setar
-Hj Lah dari Cegar Pantai Johor, Kedah

Pengajian beliau dengan mereka ini menambahkan ilmu pengetahuan tentang ilmu bayan dan maani (ilmu bagi memahami isi-isi Al-Quran), hadis dan bahasa Arab. Namun pembelajaran beliau bersama mereka ini juga tidak lama….

ii- Belajar ilmu silat dan ilmu kebatinan dengan Pak Ngah Sharif

Di peringkat awal, Ustaz Hanafi telahpun mempelajari dan mengkaji beberapa jenis silat antaranya Silat Gayong Petani, Terlak, Kuntau Siam, Tomoi Siam, Sepelet dan lain-lain lagi. Pada pandangan beliau silat-silat tersebut hanya sesuai untuk pertunjukan sahaja dan terdapat beberapa amalan yang karut yang bercanggah dengan agama. Beliau mahu mencari ilmu silat yang benar-benar bersih dari perkara yang karut-marut, bermutu tinggi dan dapat menjaga keselamatan orang yang menggunakan ilmu silat tersebut.

Ustaz Hanafi mendapat tahu ada seorang pendekar yang handal pada waktu tersebut yang bernama Pak Ngah Sharif. Pak Ngah Sharif berasal dari Kubang Jelai, Tokai, Kedah. Kehandalan Pak Ngah Sharif menjadi bualan orang ketika itu. Beliau pernah mengalahkan orang-orang Siam di gelanggang Tomoi Siam di Thailand. Ustaz Hanafi amat berhajat menemui Pak Ngah Sharif tetapi sering tidak kesampaian kerana Pak Ngah Sharif sentiasa merantau untuk menjual ubat. Pak Ngah Sharif pernah menjelajah seluruh Tanah Melayu (Semenanjung), Thailand, Burma (Myanmar) dan Indo-China. Beliau pernah meniaga emas, intan, berlian dan kuda, akhir sekali menjual ubat. Usaha Ustaz Hanafi untuk bertemu dengan Pak Ngah Sharif tidak sia-sia apabila pada suatu hari apabila bapa beliau menunjukkan kepada beliau ke satu tempat di mana orang ramai sedang berkumpul menyaksikan orang menjual ubat dan orang yang berada di tengah-tengah kumpulan itulah yang bernama Pak Ngah Sharif. Pertemuan pertama kali pada hari tersebut hanya seketika sahaja kerana Pak Ngah Sharif sebok melayan pelanggan. Pertemuan berikutnya berlaku di Sungai Pantai Johor, Alor Setar tidak lama selepas itu.

Ustaz Hanafi kemudiannya diserahkan oleh bapa beliau untuk belajar dengan Pak Ngah Sharif. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1942, iaitu pada usia Ustaz Hanafi 19 tahun. Dengan itu bermulalah juga satu era dan permulaan Ustaz Hanafi belajar ilmu silat dan ilmu kebatinan (ketuhanan) dari Pak Ngah Sharif. Pada ketika itu para penuntut tidak dikenakan bayaran jika menuntut ilmu, hanya cukup sekadar dengan sumbangan tenaga kepada guru dengan melakukan kerja-kerja kampung untuk guru seperti memotong kayu, bersawah, menyangkul, menanam tebu dan sebagainya. Sewaktu lapang, baharulah Pak Ngah Sharif mengajar ilmu silat iaitu Silat Sendeng dan asas-asas ilmu kebatinan kepada Ustaz Hanafi. Selain melakukan kerja-kerja rumah, Ustaz Hanafi juga turut membantu dan mengikut Pak Ngah Sharif merantau sambil menjual ubat. Lama-kelamaan beliau mula mengetahui selok-belok menjual ubat dan juga mengenali ramai kawan-kawan Pak Ngah Sharif. Selepas itu beliau mula menjual ubat secara bersendirian pula tetapi semua yang dilakukan pada waktu itu adalah untuk guru beliau. Semenjak tinggal bersama Pak Ngah Sharif, Ustaz Hanafi banyak mempelajari ilmu-ilmu berkaitan kepahlawanan, ilmu perempuan, ubat-ubatan dan juga silap mata. Ustaz Hanafi juga telah diajar membuat sejenis julab yang sangat mujarab kepada kesihatan manusia. Julab tersebut bernama Ya Tai Ok Soon (bahasa Siam) dan telah ditukar oleh Ustaz Hanafi kepada nama Julab Abadi.

Asas pendidikan kebatinan yang diajar oleh Pak Ngah Sharif banyak membawa perubahan dalam hidup Ustaz Hanafi. Dari pendidikan yang diajarkan oleh Pak Ngah Sharif itulah beliau menyedari bahawa bukanlah mudah untuk mendapatkan satu ilmu yang baik. Beliau perlu berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban dan mengharungi berbagai dugaan dan pahit maung untuk mendapatkan. Ianya juga memerlukan masa yang lama dan keyakinan yang tinggi untuk mendapat ilmu yang baik. Beliau juga sedar bahawa ilmu yang baik hanya ada pada orang-orang yang tertentu sahaja. Setelah belajar selama tiga tahun sehingga 1945 dengan Pak Ngah Sharif, Ustaz Hanafi mula melangkah sendiri. Beliau mula merantau keseluruh tanah air untuk menjual ubat sambil mencari lagi guru yang dapat meningkatkan kefahaman batin beliau. Semasa perantauan beliau inilah beliau dapat berjumpa dengan ramai tokoh yang masyhur antaranya :

-Cek Salleh bin Hj Abdul Rahman Limbong, murid Said Abdul Rahman, Paloh, Terengganu yang masyhur dengan alimnya.

-Kiai Muhamad Fadullah Suhaimi dari Singapura yang masyhur dalam bidang perundangan Islam (Syariah)

-Sheikh Osman Cincin dari Perak yang masyhur dengan ilmu kebal

-Abdullah Salleh yang masyhur dengan gelaran Cek Lah Keramat dan masyhur dengan ilmu perubatan tradisional di Terengganu.

Dua tahun selepas tamat belajar dengan Pak Ngah Sharif, beliau telah menamatkan zaman bujang beliau dan telah mendirikan rumah tangga. Namun begiut, oleh kerana minat beliau yang mendalam untuk mengkaji dan mendalami ilmu ketuhanan, beliau meneruskan kerja beliau dengan cara menjelajah ke seluruh tanahair menjual ubat sambil mencari guru hakikat yang boleh menyimpulkan kefahaman tauhid beliau walaupun beliau telah berkahwin. Beliau selalu meninggalkan isteri dan anak-anak beliau dalam usaha beliau menjual ubat dan juga mencari guru yang dapat menyimpulkan fahaman kebatinan beliau.

iii- Belajar dengan Hj Zain bin Lebai Abdul Rahman

Seperti yang telah disebutkan, beliau meneruskan kerja menjual ubat dengan cara menjelajah ke seluruh tanahair sambil mencari guru hakikat yang boleh menyimpulkan kefahaman tauhid beliau. Selepas hampir sepuloh (10) tahun mencari, akhirnya pada tahun 1957 iaitu pada usia beliau 34 tahun, Ustaz Hanafi telah bertemu dengan Hj Zain bin Lebai Abdul Rahman yang tinggal di Pantai Johor, Alor Setar, Kedah. Pak Hj Zain selalu berada di Pekan Rabu kerana menjual kitab-kitab ugama. Ustaz Hanafi sebenarnya tidak mengenali Pak Hj Zain sehinggalah pada satu ketika berlaku peristiwa cabar-mencabar mengenai pegangan agama masing antara mereka berdua di Pekan Rabu yang hampir melibatkan pergaduhan. Ustaz Hanafi mula menyedari Pak Hj Zain mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu ketuhanan selepas peristiwa tersebut dan mahu berguru dengan beliau.

Ustaz Hanafi mula belajar dengan Pak Hj Zain pada tahun 1957 hinggalah Pak Hj Zain meninggal dunia pada tahun 1975 (jangka masa 18 tahun). Dalam masa beliau belajar itu jugalah, beliau ada bekerja sebagai Pegawai Zakat dan kemudiannya mengembangkan Silat Cekak. Cara belajar dengan Pak Hj zain adalah dengan cara tidak formal iaitu dengan cara berbual dan membaca kitab. Dalam masa tersebut , beliau juga belajar Silat Cekak ini dari Encik Yahaya Said pada tahun 1965 dan seterusnya mengembangkan silat tersebut walaupun Pak Hj Zain kurang bersetuju dengan tindakan meneruskan niat mengembangkan Silat Cekak.

Kitab yang diajar oleh Pak Hj Zain adalah Kitab Hikam Ibni Ataillah yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Al Alim Al Hammah Al Fadhilah, yang bergelar Tok Pulau Manis Terengganu. Semasa berguru dengan Hj Zain jugalah Ustaz Hanafi merasakan beliau telah menemui apa yang dicari selama ini. Melalui Pak Hj Zain dan sebelumnya Pak Ngah Sharif, Ustaz Hanafi dapat memutuskan kefahaman kebatinannya. Yang dimaksudkan dengan fahaman kebatinan ialah MEMBERSIHKAN HATI ATAU MENGHILANGKAN SAKIT JIWA SEPERTI TUBUH BOLEH BERPENYAKIT, ROH JUGA BERPENYAKIT (RISAU, SOMBONG, GILA PANGKAT DAN LAIN-LAIN LAGI). Penyakit jiwa ini mesti dibuang supaya roh dapat berhubung dengan Allah swt dengan tenang dan khusyuk. Setelah roh mendapat sejahtera, tubuh juga akan beroleh kesejahteraan dan dapat mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat. Tujuan besar menghilangkan penyakit jiwa supaya roh jangan ditakluki oleh hawa nafsu. Hidup didunia mestilah dengan tujuan untuk menjadi HAMBA ALLAH. Oleh itu hidup di dunia ini hanya bertuhankan Allah semata-mata. Tidak takut menghadapi kenyataan, susah dan senang dirasakan sama sahaja kerana hidup, mati dan rezeki telah ditentukan oleh Allah swt. Manusia hanya berusaha, hasilnya adalah dari Allah swt.

Menurut pegangan Ustaz Hanafi, hanya kepada tuhan tempat bergantung dan Nabi Muhamad sebagai ikutan dan pedoman. Selain dari dua perkara tersebut beliau tidak pedulikan, umpamanya kepada wali-wali allah. Kerana seorang yang menjadi wali Allah itu adalah atas KURNIA oleh Allah . Jadi sesiapapun boleh menjadi wali Allah asalkan ia seorang yang kuat kenyakinan dan teguh pendirian kepada Allah. Dengan fahaman inilah dapat mententeramkan hati, fikiran dan memancarkan cahaya perjuangan di dalam hidupnya. Fahaman iktikad yang diamalkan oleh Ustaz Hanafi ialah iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu ahli yang mengikut sunnah Rasullullah dan sahabat-sahabat baginda…




akan datang - usaha awal mengembangkan Silat Cekak

No comments: